Pulau Sebatik Tuan Rumah Pertemuan Budaya Orang Asal Sabah Tahun Depan

Pulau Sebatik Tuan Rumah Pertemuan Budaya Orang Asal Sabah Tahun Depan
Kampung Mentadak di Pulau Sebatik akan menjadi tuan rumah program Pertemuan Budaya Orang Asal Sabah pada Jun tahun depan, kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Rakan Komuniti Sabah (Pacos Trust) Anne Lasimbang.

Beliau berkata pemilihan Kampung Mentadak itu dibuat berdasarkan keputusan undian pada program Pertemuan Budaya Orang Asal yang diadakan di Tongod, Kinabatangan Jun lepas dan dijangka dihadiri tidak kurang dari 500 orang.

"Aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan yang kami adakan khas untuk komuniti Orang Asal Sabah bagi membolehkan mereka berkongsi isu-isu kebudayaan seperti tarian, sukan tradisi dan makanan. Tahun ini di Tongod manakala tahun depan di Pulau Sebatik.

"Ada komuniti Orang Asal Sabah tidak tahu bahawa sebahagian daripada komuniti Orang Asal di Sabah ialah komuniti Tidung. Mereka tidak tahu kehidupan masyarakat Tidung," kata Anne Lasimbang.

Anne berkata antara objektif pertemuan itu ialah pertukaran budaya dan pengetahuan di kalangan Orang Asal Sabah dari segi tarian dan makanan serta mengeratkan hubungan sesama mereka.

Beliau berkata banyak faedah bakal diperoleh melalui pertemuan kebudayaan seperti itu terutama untuk mengenali kebudayaan antara satu sama lain sekaligus menghapuskan persepsi negatif yang sebelum ini timbul di kalangan sesama orang asal Sabah.

"Sebelum ini mereka (kalangan Orang Asal) ada yang menganggap komuniti orang asal tertentu jahat dan suka meracun orang lain. Bagaimanapun, dengan pertemuan ini, prasangka seperti itu dapat dikikis," katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Komuniti Tidung Tawau (Pakot) Yusof Isid@Ujang pula berkata mereka gembira dipilih sebagai tuan rumah Pertemuan Budaya Orang Asal Sabah dari seluruh negeri kerana peluang seperti itu jarang diberikan.

Yusof mengingatkan masyarakat di pulau berkenaan supaya bersedia lebih awal untuk penganjuran program berkenaan dengan menyediakan apa yang mereka boleh jual pada masa itu termasuk tikar anyaman.

"Melalui program itu, sukan-sukan tradisi masyarakat Tidung seperti 'sipak meligai' yang telah pupus dapat dihidupkan kembali. Anak-anak kami di pulau ini, terutama suku kaum Tidung, ramai yang sudah tidak tahu membuat kraf tangan, malah ramai yang sudah tidak mengenali kuih tradisi mereka," katanya.(gps)

Sumber : RRI.co.id

Sebatik Terkait

DOB Kota Sebatik